Selama ini tamadun rumpun Melayu hanya terkenal dengan pencapaian dalam bidang bukan sains, kejuruteraan dan teknologi (SAKTI) sahaja. Usaha membuktikan adanya pencapaian yang tinggi dalam SAKTI juga masih kurang dilakukan. Justeru, gagasan penulis, iaitu pemeribumian ilmu, khususnya dalam ilmu sains matematik diperkenalkan sejak 1990-an. Pemeribumian ilmu ialah ekskavasi ilmu karya sarjana berbahasa Melayu sejak abad kesatu Masihi (kerajaan Funan dan Campa di Indochina) hinggalah abad ke-20 Masihi, penilaian semula ilmu tersebut, dan sekali gus ilmu kini juga, mengikut perspektif rumpun-Melayu-Islam. Satu daripada tanda pencapaian sains sesebuah tamadun ialah adanya istilah dan konsep khusus tentang unit pelbagai sukatan benda. Buku ini membicarakan unit-unit sukatan yang dapat dijejaki dalam peribahasa rumpun Melayu (Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan lain-lain kesemuanya diistilahkan oleh sarjana Barat abad ke-19 M dahulu sebagai Malayonesia dan Malayuwiyah oleh sarjana Patani abad yang sama). Buat pertama kalinya, kewujudan pelbagai unit sukatan yang piawai, agak piawai dan belum terpiawai dalam sukatan bilangan, jisim atau berat, panjang (kelebaran, ketinggian dan kedalaman), luas, isi padu, dan masa serta gabungannya yang sesetengahnya mendahului tamadun lain sezamannya, didedahkan secara tuntas. Hal yang lebih menarik lagi ialah paparan banyaknya sukatan perkara-perkara yang subjektif seperti tahap perasaan (kegembiraan, kesedihan, kemurungan dan sebagainya), kekacauan, kekayaan, kemiskinan, kejahatan dan sebagainya yang dalam sains matematik kini dikelaskan sebagai benda-benda yang dibicarakan dalam bidang yang agak besar yang dinamakan sains matematik kabur. Buku ini dapat membantu pembaca memperoleh kekuatan dan keuculan jiwa hamba dalam membina semula keyakinan diri terhadap kekuatan kebudayaan silam tamadun Malayonesia/Malayuwiyah, dan tidak kurang pentingnya mampu memberi kesedaran dan keinsafan tentang adanya potensi kebudayaan sendiri dalam mewarnai dan melakar jejak baharu dalam sains kini.
Dear publishers and self-publisher, kindly be informed that Book Capital & E-Sentral are now using the same publisher panel for your convenience in uploading and updating your eBook content.
If you wish to proceed to log in/ sign up, click Yes. Otherwise, kindly click the X icon to close.